Tuesday, August 25, 2009

MOTIVASI UNTUK PELAJAR

Pembuka kata

Menjelang peperiksaan, bermacam perasaan akan bermain di dalam diri anda. Kadang-kadang anda rasa berdebar, kadang-kadang pula anda rasa gembira kerana penantian anda selama ini akan berakhir. Walau apa pun yang anda rasakan, anda perlu sentiasa menaikkan tahap motivasi anda untuk menghadapi peperiksaan.
Ada sahabat saya seorang guru yang bergurau dengan saya dengan mengatakan, “Pelajar yang pergi kursus motivasi ni, masa dalam kursus, semangat mereka panas membara. Mereka berkobar-kobar hendak belajar dengan lebih tekun dan mahu mencapai kejayaan yang selama ini nampak mustahil. Pendek kata, memang panaslah….
Tetapi, habis sahaja kursus, dalam perjalanan balik ke rumah, bila dah kena angin yang bertiup, terus je diorang sejuk. Belum sampai ke rumah lagi pun dah sejuk. Habis, macam nak bersemangat untuk berusaha?”
Saya tergelak mendengar celoteh sahabat saya ini. Bila difikirkan, ada betulnya. Kursus motivasi boleh menaikkan semangat pelajar dengan cepat tetapi selalunya cepat pula semangat mereka turun semula. Saya terfikir, mengapa ini terjadi?
Ada banyak sebab mengapa ini terjadi. Tetapi satu sebab yang saya nampak dengan jelas ialah, kursus motivasi sebenarnya bukan sahaja cuba menaikkan semangat pelajar ketika kursus dijalankan, ia juga
selalunya membekalkan teknik-teknik yang patut diamalkan agar pelajar sentiasa bersemangat untuk berusaha. Teknik-teknik ini selalunya dikenali sebagai teknik untuk memotivasikan diri sendiri.
Mungkin pelajar terlupa akan kepentingan teknik ini. Mungkin juga pelajar gagal mendisiplinkan diri untuk mencuba teknik-teknik tersebut. Apa yang pasti, motivasi bukan sahaja datang daripada luaran tetapi yang lebih penting ialah yang datang dari dalam diri pelajar itu sendiri. Di dalam buku ini saya akan bincangkan 7 teknik untuk memotivasikan diri anda sendiri menjelang peperiksaan.




Teknik 1
Kekalkan Imej Kejayaan

Teknik utama yang saya ingin kongsikan ialah jika anda mahu mengekalkan semangat yang membara dalam diri anda untuk berjaya, anda mesti mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Seperti yang anda tahu, minda anda hanya boleh fokus kepada satu perkara sahaja pada satu masa. (There could be only one dominant thought at one time).
Jadi, apa yang selalu anda kekalkan dalam fikiran anda selepas anda menghadiri kursus atau membaca buku-buku motivasi? Kebanyakan pelajar yang hilang fokus dan semangat menjelang peperiksaan telah hilang fokus kepada imej kejayaan di dalam minda mereka.
Jadi, mulai hari ini, fikirkan, apakah imej kejayaan yang anda ingin isi dalam minda anda? Mungkin anda boleh bayangkan imej kejayaan ketika mengambil keputusan peperiksaan. Mungkin juga anda boleh pergi jauh lagi dengan membayangkan imej kejayaan ketika anda sudah memasuki alam pekerjaan.
Untuk pengetahuan anda juga, imej kejayaan di masa akan datang tidak semestinya menjadi seorang ahli korporat. Anda boleh jadi apa sahaja. Cuma, walau apa-apa pun kerjaya yang anda pilih, pilih untuk jadi professional, maksudnya, jadi yang terbaik.
Jadi, latihan untuk hari ini, fikirkan apa imej yang anda ingin kekalkan di dalam minda anda untuk terus rasa bersemangat. Ingat, jika anda tidak memilih untuk mengisi minda anda dengan imej yang memberikan semangat, ia akan diisi dengan imej yang akan menjatuhkan anda. Selamat mencuba.



Teknik 2
Dekati Sahabat Berfikiran Positif


Mengekalkan imej yang positif atau imej kejayaan selalunya adalah sesuatu yang sukar. Terlalu banyak perkara negatif disekeliling anda yang boleh mempengaruhi apa yang anda fikirkan. Pada pendapat anda, secara umum, minda pelajar lebih mudah diisi dengan unsur-unsur negatif atau positif……..????
Jawapannya tentulah unsur negatif. Ini kerana, anda perlu berusaha secara sedar untuk meletakkan unsur positif dalam minda anda. Jika anda tidak ada usaha untuk itu, secara otomatik, unsur negatif akan memenuhi minda anda. Ada pepatah yang mengatakan bahawa, minda adalah umpama sebuah taman. Jika taman itu tidak ditanam dengan pokok-pokok bunga, lalang dengan sendirinya akan tumbuh.
Begitu juga dengan minda anda. Jika anda tidak berusaha memenuhkan minda anda dengan perkara-perkara yang baik dan positif, ia akan dengan sendirinya dipenuhi dengan perkara-perkara negatif dan tidak baik.
Jadi, tips kedua ini ialah, dalam usaha anda mengekalkan imej kejayaan dan positif dalam minda anda supaya sentiasa bersemangat, anda perlu bergaul dengan pelajar lain yang juga berfikiran positif dan bersemangat untuk berjaya. Ada Hadith Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi, badan kita juga akan berbau harum.
Jadi, cari pelajar lain atau kawan anda sendiri yang selalu bersemangat berusaha untuk berjaya. Luangkan masa bersama mereka. Ikut langkah mereka dalam belajar dengan bijak. Berkongsi pendapat dan ilmu bersama mereka tentang cara terbaik untuk mencapai matlamat anda untuk peperiksaan. Insyaallah, anda akan berjaya. Selamat mencuba



Teknik 3
Jauhi Sahabat Berfikiran Negatif


Sama seperti teknik kedua, jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadap, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.
Apabila saya katakan menjauhkan diri, ia tidak bermaksud anda memutuskan persahabatan dengan sahabat-sahabat anda ini. Ia bermaksud anda perlu kurangkan masa bergaul dengan mereka dan jauhkan dari mengikuti aktiviti-aktiviti mereka yang membuang masa.
Ada satu pepatah Inggeris yang mengatakan bahawa, “Jika anda mahu terbang bersama helang di langit, anda tidak boleh terus mencakar bersama ayam di tanah”.
Selalunya kawan-kawan yang berfikiran negatif akan melemahkan dan menjatuhkan semangat anda. Contohnya, jika anda ceritakan kepada mereka bahawa anda bercita-cita untuk mendapat 8A dalam peperiksaan, mereka mungkin akan ketawa dan berkata bahawa anda tidak mungkin berjaya sebegitu. Ini pasti melemahkan semangat anda.
Kawan-kawan anda yang berfikiran negatif juga selalunya mudah berputus-asa. Mereka tidak mahu berusaha untuk berjaya kerana ia amat sukar dilakukan. Jadi, mereka mula berputus-asa. Apa yang tidak bagus ialah, mereka juga mungkin akan mempengaruhi anda untuk berputus-asa.
Firman Allah dalam surah Yusuf, ayat 87, “....dan janganlah kamu berputus-asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiadalah yang berputus-asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”
Jadi, jauhi kawan-kawan yang bersifat negatif dan mudah berputus-asa. Ingat, saya kata jauhi, bukan putuskan hubungan persahabatan dengan mereka.



Teknik 4
Mulakan dengan api yang kecil

Teknik motivasi diri menjelang peperiksaan yang keempat ialah, mulakan dengan api semangat yang kecil dan biar ia merebak menjadi api semangat yang berkobar-kobar. Biar saya terangkan dengan lebih lanjut.
Ada dua kaedah utama untuk menyalakan api semangat yang kecil ini.
1. Menguasai satu bahagian kecil subjek
2. Mencari faktor atau perkara yang boleh menyalakan api semangat yang kecil itu.
Kaedah pertama
Biasanya, anda tidak bersemangat tentang suatu subjek kerana anda tidak pandai dalam subjek tersebut. Jika anda tidak pandai Bahasa Inggeris, pasti anda tidak suka subjek itu. Kalau ada masa lapang, anda pasti akan ulangkaji subjek yang anda lebih suka dan pandai, bukan subjek bahasa Inggeris. Untuk menaikkan minat dan motivasi anda terhadap matapelajaran yang anda tidak pandai ini ialah, pilih hanya satu bahagian kecil yang boleh anda kuasai.
Anda tidak boleh kuasai Bahasa Inggeris dengan sekelip mata. Anda tahu banyak benda yang anda tidak tahu, jadi ini akan melemahkan semangat anda. Jadi, apa yang patut anda buat sekarang, cari satu bahagian kecil dalam Bahasa Inggeris yang anda mahu kuasai. Contohnya, anda mahu kuasai perkara asas dahulu, apakah perbezaan antara Noun dan Verb. (jika anda rasa ini mudah, jangan terkejut jika saya kata saya jumpa terlalu ramai pelajar walaupun sudah disekolah menengah tidak tahu beza dua perkara ini).
Fahami betul-betul apa maksud noun dan verb ini. Cari perbezaan mereka. Cari perkataan-perkataan yang dikatakan verb dan juga noun. Pendek kata, belajar betul-betul sampai anda nampak 2 perkara ini mudah sahaja. Ini yang saya maksudkan dengan bermula dengan api semangat yang kecil.
Apabila anda sudah menguasai sesuatu walaupun ia kecil sahaja, ia adalah satu api semangat yang telah mula menyala dalam diri anda. Percayalah bahawa, setelah api semangat yang kecil ini telah menyala, anda akan rasa lebih berminat untuk menambahkan apa yang anda tahu. Jadi anda kuasai bahagian lain pula.
Semakin banyak yang anda kuasai, semakin besar nyalaan api semangat ini. Keyakinan diri anda akan bertambah. Penguasaan anda terhadap subjek juga akan bertambah. Apabila api ini sudah cukup besar dan menyala dengan begitu berkobar-kobar, insyaallah saya percaya anda akan kecapi kejayaan yang anda idam-idamkan.
Kaedah kedua
Untuk anda menyalakan api kecil itu, anda boleh lakukan bukan sahaja dengan menguasai bahagian kecil dalam mana-mana subjek, tetapi dengan mencari apakah perkara yang boleh menyalakan api kecil dalam diri anda itu. Maksudnya begini. Pernahkah anda sedang buat sesuatu seperti menonton televisyen, bermain bolasepak, berjalan-jalan, membeli belah atau berehat, tiba-tiba sahaja anda rasa semangat anda untuk belajar meningkat. Anda jadi bersemangat dengan tiba-tiba.
Apabila itu berlaku, anda terus rasa rajin untuk belajar dan mengulangkaji. Apa yang berlaku ini ialah api semangat yang kecil itu telah menyala. Ia tidak menyala dengan sendiri, tetapi sesuatu yang anda lakukan telah menyalakannya.
Tugas anda hari ini ialah untuk mencari apakah aktiviti yang anda lakukan yang boleh menyalakan api semangat dalam diri anda ini. Ia tidak semestinya anda mesti baca buku.
Jika anda tanya saya, api semangat dalam diri saya selalunya menyala jika saya menonton movie yang berkisahkan kehebatan manusia seperti kisah Ejen rahsia yang hebat seperti ‘The Bourne Identity & The Bourne Supremacy’ dan beberapa cerita fantasi lain. (Malu pula saya hendak nyatakan filem-filem fantasi berasaskan komik yang saya minati )
Apabila saya menonton cerita begini, saya rasa bersemangat melihat kehebatan watak-watak dalam cerita itu. Ini secara langsung menyalakan api kecil dalam diri saya. Jadi, setiap kali saya hilang semangat dan memerlukan api kecil itu, saya akan pasang vcd movie yang saya minat tadi.
Bagaimana dengan anda? Apakah aktiviti begini untuk anda? Saya perlu ingatkan bahawa pada mulanya agak sukar untuk mencari aktiviti ini tetapi jika anda teruskan usaha dan membuka mata dan minda anda, insyaallah anda akan jumpa.
Satu peringatan yang perlu saya berikan ialah, apabila anda sudah menemui aktiviti yang boleh menaikkan semangat anda atau boleh menyalakan api semangat dalam diri anda, jangan lakukan aktiviti tersebut secara berlebihan. Setiap perkara yang dilakukan berlebihan akan membawa kesan yang tidak baik.
Contohnya, mungkin anda rasa anda perlu bermain permainan komputer untuk membuat anda rasa bersemangat untuk belajar. Tidak mengapa. Tetapi, jangan sampai anda terlalu asyik bermain permainan komputer hingga anda lupa bahawa tujuan anda bermain itu adalah untuk menaikkan semangat untuk belajar, bukan untuk terus bermain.




Teknik 5
Lakonkan Watak Kejayaan

Teknik yang kelima in adalah agak penting. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, jika anda hendak mengekalkan motivasi diri, anda perlu mengekalkan imej kejayaan dan imej positif di dalam diri anda. Salah satu cara mudah untuk mencapai perkara ini ialah dengan berlakon. Ya, berlakon!
Apa yang perlu anda buat ialah, apabila anda hendak duduk dan mula belajar, berlakon seolah-olah anda adalah seorang pelajar paling pintar di Malaysia. Apabila hendak berlakon, anda perlu buat betul-betul seperti orang berlakon.
Anda perlu duduk seperti pelajar pintar, anda perlu buat memek muka seperti pelajar pintar, dan bergerak juga seperti pelajar pintar. Bagaimana pelajar pintar lakukan semua itu? Anda cuma perlu bayangkan sahaja kalau seseorang itu pelajar pintar, bagaimana agaknya cara mereka lakukan semua perkara tadi.
Berlakon yang anda juga adalah seorang pelajar pintar yang paling bersemangat semasa belajar. Berlakon seperti anda betul-betul berseronok dan gembira semasa anda belajar dan mengulangkaji.
Mengapa perlu berlakon?……… Sebabnya, otak anda tidak dapat membezakan sama ada berlakon atau betul-betul rasa seronok dan pintar semasa belajar. Jadi, bila anda berlakon seperti pelajar pintar, pergerakan tubuh anda akan berubah jadi seperti pelajar pintar dengan sendirinya. Tetapi yang lebih hebat, pemikiran anda akan jadi lebih lancar dan lebih mudah untuk memahami sesuatu. Pendek kata, anda betul-betul jadi pelajar pintar.
Saya faham, selalunya tidak lama anda boleh kekalkan berlakon begini. Tidak mengapa. Ada yang bertahan selama 10 minit. Ada yang lebih. Tetapi buat teknik ini setiap kali anda mahu belajar. Lama- kelamaan anda akan bertahan lebih lama. Beri sedikit masa sahaja lagi, insyaallah anda akan kekal berfikiran seperti seorang pelajar paling pintar di Malaysia.
Anda juga perlu ingat bahawa melakonkan watak kejayaan adalah satu kemahiran. Setiap kemahiran memerlukan latihan dan pengulangan. Sama seperti belajar menunggang basikal di mana anda perlu terus berlatih hingga anda berjaya menunggang tanpa jatuh, anda juga perlu berlatih melakonkan watak kejayaan hingga anda rasa selesa dan percaya sebenar-benarnya bahawa anda adalah orang yang berjaya.
Selamat mencuba.



Teknik 6
Kurangkan Tekanan Perasaan

Peperiksaan sudah semakin hampir. Bagaimanakah perasaan anda? Tertekan? Letih? Gementar? Atau anda rasa gembira kerana debaran sepanjang tahun ini akan berakhir tidak lama lagi?
Merasa gementar atau tertekan adalah perkara biasa. Namun perkara biasa ini boleh menjadi luar biasa jika anda tidak boleh mengawalnya. Sewaktu saya mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1993, ada dua pelajar daripada sekolah saya yang tidak dapat mengambil peperiksaan. Mereka tidak sihat secara mental dan saya percaya ia disebabkan oleh tekanan menghadapi peperiksaan.
Soalan saya, apakah kesan tekanan menghadapi peperiksaan ini ? Maksud saya, apakah kesan-kesan yang anda boleh lihat akibat tekanan perasaan?
Tuliskan 10 jawapan anda di atas kertas. Saya beri masa 3 minit untuk anda menulis kesan-kesan tekanan perasaan itu………… (3 minit dari sekarang……………..)
(……..anda sudah tulis….? Jangan sambung baca selagi anda belum tulis…. nanti anda tidak dapat faham apa yang saya ingin sampaikan dalam mesej ini.)
Baiklah. Apa yang ada dalam senarai anda? Antara kesan-kesan yang biasa pelajar tulis ialah pening kepala, tumbuh jerawat, cepat marah, hilang mood, hilang selera makan,(bertambah selera makan pun ada ), sakit perut, sakit hati, hilang tumpuan, rasa nak pengsan, benci tengok kawan, benci tengok muka guru, benci tengok muka sendiri, dan macam-macam lagi perkara yang negatif. Ada tak contoh-contoh ini dalam senarai anda?
Baiklah. Satu lagi soalan saya, dalam senarai anda, ada tak kesan yang positif atau kesan yang baik? Hmm…. selalunya, saya tidak pernah tengok pelajar tulis kesan yang baik bila ditanya tentang kesan tekanan perasaan. Padahal, memang ada kesan yang baik.
Apakah kesan baik tentang tekanan perasaan? Saya akan bagi ‘pembayang’. Kesan positif tekanan perasaan ada kaitan dengan orang yang membuat senaman angkat berat. Apa agaknya ya? Fikirkan…….
Dapatkah anda meneka apakah kesan baik tekanan perasaan kepada kita? Baiklah, saya akan terangkan dulu apa kesan membuat latihan angkat berat.
Katakan Ali berlatih angkat berat dan dia mengangkat besi seberat 20 kg beberapa kali hingga dia tidak mampu mengangkatnya. Besi yang berat ini memberi tekanan kepada otot-otot tangan Ali. Keesokan harinya, tangan Ali akan terasa sakit. Ini disebabkan otot-otot pada tangan Ali telah rosak disebabkan tekanan tadi.
Satu perkara yang hebat mengenai manusia ciptaan Allah, jika otot-otot kita rosak disebabkan tekanan benda berat tadi, ia akan digantikan dengan yang BARU, LEBIH BESAR dan LEBIH KUAT.
Ini bermakna, apabila Ali sudah hilang rasa sakit, kekuatan tangannya akan bertambah. Sebab itulah sebenarnya jika mula-mula kita angkat beg sekolah kita rasa berat, tapi lama kelamaan kita rasa biasa sahaja. Ini kerana kekuatan kita telah bertambah.
Begitu juga dengan tekanan perasaan. Tekanan perasaan membuat kita pening kepala, sakit perut, rasa nak muntah dan sebagainya. Tetapi kalau kita sabar, hadapi tekanan itu dengan rasa yakin bahawa ia akan membuat kita lebih hebat, insyaallah kita akan jadi lebih matang dan bijak. Kita buat soalan matematik contohnya dan rasa pening, jika kita sabar dan hadapi tekanan itu dengan tenang, kita akan rasa bahawa soalan matematik tidak lagi memberi tekanan perasaan kepada kita. Ia seolah-olah kita sudah menjadi semakin kuat.
Firman Allah dalam Al-Quran, surah Al-Insyirah: Ayat 5-8,
“Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (mengerjakan sesuatu pekerjaan), maka bersusah payahlah (mengerjakan yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau bermohon.”
Sabda Rasulullah S.A.W., “...dan ketahuilah bahawa kemenangan itu akan terhasil sesudah kesabaran, dan kelapangan itu akan muncul sesudah kesusahan. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan.” (Riwayat Ibnu Abbas)
Firman Allah dan sabda Rasulullah ini sahaja sudah cukup untuk memberi kita ketenangan kerana sudah ada jaminan bahawa setiap kesukaran dan kesulitan yang kita lalui pasti akan diberi ganjaran lain dalam bentuk kesenangan dan kemudahan.
Jadi, sebagai langkah permulaan, ingat satu perkara ini. Jika anda rasa tertekan, percaya bahawa apabila anda susah melaluinya anda akan jadi lebih bijak dan matang dan anda akan lebih mempunyai peluang untuk berjaya di dalam pelajaran atau dalam hidup.
Kaedah-keadah mengurangkan tekanan perasaan
Setelah kita tahu bahawa tekanan perasaan sebenarnya membawa kebaikan kepada kita jika kita dapat mengawalnya dengan baik, kita akan rasa lebih tenang. Anda akan rasa tenang kerana anda tahu, tekanan perasaan itu akan berakhir dan apabila ia berakhir, anda akan jadi lebih bijak dan matang.
Saya ingin kongsikan satu teknik lain untuk mengurangkan tekanan perasaan. Teknik ini saya namakan mencari ‘masa aktif’.
Salah satu sebab anda merasa tertekan ialah kerana anda penat. Apabila anda penat, anda tidak boleh menumpukan perhatian kepada apa yang anda belajar. Apabila anda tidak boleh menumpukan perhatian, anda tidak faham. Apabila anda tidak faham, anda rasa…. TERTEKAN!
Mencari masa aktif bermaksud, anda perlu mengenal pasti pada waktu bila kah anda paling aktif? Maksud saya, dalam sehari, pada waktu mana fikiran anda paling cergas? Ada pelajar yang cergas di waktu pagi dan ada pelajar yang cergas di waktu malam dan ada di waktu petang. Jika anda belajar sewaktu minda anda cergas dan tubuh badan anda rasa segar, anda lebih mudah faham apa yang anda pelajari. Disebabkan anda sedang cergas, anda juga tidak akan mudah rasa tertekan. Jadi, kenal pasti waktu mana yang sesuai untuk anda belajar. Kenal pasti, bilakah ‘masa aktif’ anda itu.
Ada satu peringatan. Jika masa aktif anda adalah pada waktu malam, anda perlu berhati-hati supaya jangan membuat aktiviti yang terlalu berat pada waktu siang. Aktiviti berat seperti bermain bola selama 2 jam di waktu petang hingga anda hilang semua tenaga simpanan yang perlu digunakan pada waktu malam. Sama juga jika masa aktif anda ialah pada waktu pagi. Jangan tidur terlalu lewat jika anda suka belajar pada waktu pagi. Ini akan mengganggu masa aktif anda itu.
Pernahkah anda merasa begitu tertekan hingga tidak boleh tidur dan tidak boleh makan? Ingat semula pengalaman itu. Cuba ingat, bagaimana cara anda berdiri, bagaimana cara anda duduk dan bagaimana memek muka anda ketika anda merasa tertekan? Ingat?
Bagus. Jika anda hendak tahu, anda boleh mengurangkan rasa tekanan dengan hanya mengubah cara anda berdiri, duduk dan juga menukar memek muka anda. Sekarang, jika anda rasa tertekan, cuba berdiri tegak. Tarik nafas dalam-dalam. Tinggikan kedudukan dada anda seolah-olah anda baru menang satu anugerah dan anda merasa sangat bangga. Senyum. Senyum sampai nampak semua gigi anda. Apa yang anda rasa sekarang? Lebih baik kan? Ini adalah teknik ‘Fisiologi’ untuk mengurangkan tekanan perasaan.
Teknik ini adalah mudah. Ia mengatakan bahawa anda boleh mengubah apa yang anda rasa dengan hanya mengubah cara pergerakan tubuh badan anda. Mari kita cuba sekali lagi. Katakan anda hendak pergi ke meja anda untuk belajar. Buku-buku anda telah siap tersedia di atas meja. Cuba jalan perlahan-lahan dengan muka yang ‘monyok’ (boleh guna ke perkataan ni ) Kalau tak faham monyok, buat muka ketika anda sangat kecewa. Jalan dengan langkah yang berat seolah-olah ada rantai di kaki anda dan anda tidak larat nak berjalan dengan tegak.
Apa yang anda rasa? Berat dan malas kan? Untuk mengatasinya, buat perkara sebaliknya. Berjalan dengan gagah dan buat muka riang gembira macam anda baru menang hadiah cabutan bertuah. Apa anda rasa? Bukan sahaja anda akan rasa lebih cergas, anda juga akan kurang merasa kesan tekanan perasaan yang melanda.
Jadi, ubah pergerakan anda dan ubah memek muka anda untuk mengurangkan tekanan perasaan yang anda rasa.
Mutiara Kata
Manusia amat memerlukan tekanan untuk dia lebih cerdas, cergas dan cemerlang. Untuk dia dilihat sebagai memiliki keunikan-keunikan yang mengatasi orang lain. Sebagaimana air dari kepala paip, jika tak kuat tekanannya, lemahlah air yang mengalir, jika kuat tekanannya terpancutlah dengan derasnya. ~Dr. HM Tuah, ‘Nak ke Tak Nak’~
Seperti yang telah kita bincangkan tadi, tekanan boleh membawa kesan positif kepada hidup kita dengan syarat kita sabar dan hadapinya dengan tenang. Dr. Tuah ada menerangkan konsep ini dengan menarik melalui buku beliau Nak ke Tak Nak. Adalah satu idea yang bagus jika anda mendapatkan buku ini.
Satu lagi kaedah yang ingin saya kongsikan disini ialah teknik pernafasan. Ada pelbagai jenis teknik pernafasan yang ada tetapi saya ingin kongsikan satu teknik pernafasan yang diajarkan oleh Lisa Curtis, seorang pakar Sophrology di Amerika Syarikat (jangan risau jika anda tidak tahu apa maksud sophrology). Ini adalah teknik pernafasan beliau untuk menghilangkan tekanan perasaan.
Mula-mula berdiri. Jarakkan kaki anda lebih kurang selebar bahu anda. Tarik nafas melalui hidung anda dan bayangkan yang anda sedang menyedut udara dari ibu jari kaki anda dan ia memenuhi sebiji belon besar di dalam perut anda. Lakukan proses ini selama 8 saat. (tarik nafas selama 8 saat perlahan-lahan).
Kekalkan belon besar itu di dalam perut anda selama 4 saat.
Kemudian, kempiskan belon itu perlahan-lahan selam 8 saat.
Kemudian biarkan belon itu kosong selama 4 saat. Tenangkan fikiran anda. Jangan fikirkan apa-apa.
Kemudian ulang semula proses ini dari awal 4 - kali. Insyaallah anda akan rasa lebih tenang dan kadar tekanan perasaan itu akan menurun.
Selamat mencuba.




Teknik 7
Doa

Tips ketujuh untuk motivasi diri menjelang peperiksaan yang ingin saya kongsikan hari ini adalah teknik yang paling penting dan meliputi semua teknik-teknik yang telah saya berikan. Jangan fikir ini teknik terakhir maka ia tidak penting! Saya letakkan teknik ini di bahagian teknik paling akhir kerana anda perlu faham teknik pertama hingga keenam dahulu sebelum anda boleh kuasai teknik ke tujuh ini. Teknik ini ialah doa yang khusus.
Sepanjang pengalaman saya dan rakan-rakan saya sebagai pelajar dulu, kami percaya doa adalah satu senjata paling hebat yang dimiliki oleh seorang pelajar. Jika anda tidak bersemangat, mungkin ia kerana anda kurang berdoa. Jika anda selalu berdoa tetapi tidak masih kurang bersemangat, mungkin ia kerana doa anda tidak memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.
Hari ini, saya berikan lima perkara asas dalam melafazkan doa. Asas ini saya pelajari daripada ustaz saya semasa saya berada di Tingkatan 1 dulu. (Lama dah tu ) Perkara asas ini seperti lima jari anda.
Setelah anda tahu 5 asas dalam melafazkan doa, anda perlu tahu bagaimana cara melaksanakan doa supaya anda kekal bersemangat dan mula menuju ke arah matlamat anda. Kebanyakan pelajar tidak tahu 5 asas yang saya berikan semalam. Bagi pelajar yang tahu 5 asas doa itu pula tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk melaksanakannya.
Ada 5 langkah lagi untuk melaksanakan doa (Fuhh!! banyak betul langkah ni. Harapnya anda belum penat lagi )

Langkah satu
Kenal pasti apa yang anda mahukan sejelas-jelasnya. Saya sedar kebanyakan pelajar berdoa dengan doa yang sudah dihafal. Doa-doa yang ada dalam buku semuanya bagus jika anda baca. Namun saya percaya adalah bagus juga jika anda membaca doa anda sendiri, iaitu apa yang anda inginkan dalam ayat anda sendiri. Apabila anda guna ayat sendiri, anda lebih faham apa yang anda minta, anda rasa lebih selesa dan lebih jelas tentang apa yang anda mahu. Jadi, mula tulis doa menggunakan ayat anda sendiri.

Langkah kedua
Lafazkan doa anda. Anda boleh lafaz dalam hati tetapi bagus lagi jika anda lafazkan dengan suara. Tidak perlu suara yang kuat. Cukup untuk telinga anda mendengar suara anda sendiri sahaja. Ingat, lafazkan doa dalam bentuk positif. Jangan doa “Aku tidak mahu gagal lagi”. Jika anda doa begini, perkataan gagal akan memenuhi minda anda dan itulah selalunya yang akan muncul dalam hidup anda. Lafaz “aku berjaya dalam peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM dengan 5A/6A/7A….”

Langkah ketiga
Bayangkan apa yang anda doakan. Jika anda berdoa untuk mendapat 8A dalam peperiksaan, bayangkan bagaimana agaknya reaksi anda ketika anda mengambil keputusan peperiksaan dan anda melihat keputusan 8A dalam kertas keputusan peperiksaan anda. Bayangkan situasi itu semua dengan jelas.

Langkah keempat
Rasakan apa yang anda bayangkan tadi. Maksud saya, jika anda bayangkan diri anda mendapat 8A dalam peperiksaan, apakah agaknya perasaan anda ketika itu? Adakah anda rasa terlalu gembira hingga anda menangis? Adakah anda akan rasa begitu gembira hingga anda melompat-lompat di tempat mengambil keputusan peperiksaan itu? Itu semua terpulang kepada anda. Tetapi, semakin kuat apa yang anda rasakan, semakin kuat juga kemungkinan untuk doa anda itu termakbul.

Langkah kelima
Yakin dengan izin Allah bahawa doa anda itu akan termakbul. Setelah anda berusaha dengan bersungguh-sungguh, hasil dikemudian hari adalah berlaku di atas izin Allah. Anda perlu bertawakkal dan dalam masa yang sama rasa yakin bahawa doa anda ini akan termakbul.
Selamat berdoa.





















No comments:

Post a Comment