Wednesday, December 23, 2009

KAUNSELING

[Pada 10 dan 11 Disember lalu,saya telah menghadiri kursus KO-KAUNSELOR MUDA,anjuran Yayasan Nurul Yaqeen.Jadi inilah antara ilmu yang saya peroleh sepanjang kursus tersebut,wassalam...]


PERGERTIAN KAUNSELING

Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "counselling" yang boleh difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pergertian yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa, guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan proses mendidik dan kebajikan masyarakat.

Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti rundingcara sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Apa yang ketara kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga.

Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga berkembang daripada situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan kepada kepercayaan:

*Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi makna kepada kehidupan masing-masing.

*Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing. Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk. Tujuan pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.

Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.

Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.

Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna.

Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan klien berubah.

TUJUAN KAUNSELING

Para profesional di bidang kaunseling dan psikoterapi mempunyai pendapat yang berbeza tentang kaunseling dan psikoterapi. Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan proses dan tujuan terakhir. Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai dalam masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal sangatlah penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan perhubungan kaunseling tersebut.

Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka masa yang panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan atau perkembangan yang akan dialami oleh klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang diutamakan ialah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi sepenuhnya dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang dihadapi oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah sahaja, bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.

Lima tujuan kaunseling iaitu:
1. Menolong mengubah tingkah laku klien.
2. Menambahkan kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri,terutama mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-ragu tentang dirinya.
3. Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana, tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat keputusan tersebut.
4. Membaiki perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang menghadapi masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep kendiri yang rendah atau sebaliknya. 5. Diharapkan proses kaunseling dapat menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain, misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu kesejahteraan kehidupan individu.
6. Membantu perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi keseluruhan perubahan pada diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia merasa sejahtera. Objektif kaunseling yang utama ialah untuk memberi inspirasi kepada klien bagi menilai, membuat, menerima dan mengambil tindakan terhadap pilihan atau keputusan yang dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling menolong klien mempelajari proses membuat keputusan, sehingga akhirnya dia dapat membuat keputusan tanpa sentiasa mengharapkan bantuan orang lain. Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang banyak pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang nyata ialah tujuan itu tidak sama pada semua orang. Di dalam perkembangan proses kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke semasa. Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak kaku, statik atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh klien dan kaunselor mengikut keperluan klien.

Secara umumnya, bolehlah disimpulkan bahawa kaunseling menolong seorang klien:
* Memahami diri dan situasinya;
* Mengenal pasti keperluannya;
* Menerima realiti hidupnya;
* Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya;
* Bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya;
* Dan seterusnya menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.

Tujuan terakhir supaya klien bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya sehingga menjadi individu yang berfungsi sepenuhnya tidak mungkin dapat dicapai dalam masa yang singkat. Ia merupakan tujuan hidup setiap insan yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia. Walaubagaimana pun tidaklah dapat dinafikan bahawa setiap klien dan kaunselor mempunyai tujuan-tujuan jangka pendek yang lebih khusus yang ingin dicapai dalam masa yang singkat.

Setiap manusia mesti dilihat menurut konteks sesuatu situasi di antara diri dan situasi yang menimbulkan masalah-masalah berkenaan, difahami bagaimana, mengapa dan kenapa, supaya dapat diterima hakikat yang sebenar dan dapat dibina tujuan-tujuan hidup yang lebih realistik dan lebih bermakna. Jika dilihat dari segi ini, tujuan juga merupakan suatu proses yang dinamik, di dalam perjalanan hidup di dunia ini yang penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Masalah individu yang berhubung dengan kerunsingan, psikologi, peribadi dan ketidaksejahteraan, kebanyakannya berpunca dari dalam diri individu itu sendiri kerana tidak memahami diri dan situasi serta tidak mempunyai jangkaan atau harapan yang realistik terhadap hidup. Persoalan-persoalan asas seperti siapakah aku, dari manakah asalku, apakah tujuan hidupku, siapakah yang menjadikan aku, untuk apakah aku dihidupkan dan seumpamanya sepatutnya diberi perhatian yang wajar.

Diharapkan klien dapat belajar mengendalikan hidupnya sendiri daripada pengalaman dalam proses dan perhubungan kaunseling. Dalam proses kaunseling, klien belajar tetapi kaunselor tidak mengajar. Fungsi kaunselor adalah sebagai ‘pemandu’ yang pada mulanya diperlukan untuk menunjuk jalan dan menemani klien dalam perjalanannya, memahami diri dan situasinya serta mengenal pasti keperluannya. Setelah tujuan ini tercapai, barulah fungsi dan peranan kaunselor tercapai dengan sempurnanya. Semakin berkurangan sehingga sampai klien tidak lagi memerlukannya kerana dia sudah dapat meneruskan perjalanannya sendiri tanpa bantuan daripada kaunselor lagi.

PRINSIP KAUNSELING

Dalam bidang kaunseling, prinsip-prinsip harus diamalkan untuk mencapai tujuan kaunseling. Prinsip dan ciri kaunseling adalah seperti berikut:

1. Kaunselor menyediakan keadaan yang memudahkan perubahan klien. Ini termasuklah hak individu membuat pilihan, menjadi bebas dan berautonomi.
2. Seperti dalam semua perhubungan, terdapat batasan pada klien dalam kaunseling. Batasan ini ditetapkan oleh tujuan kaunseling yang dipengaruhi oleh nilai dan falsafah kaunselor.
3. Keadaan yang memudahkan perubahan tingkah laku akan disediakan melalui temu bual. Bukan semua jenis temu bual merupakan kaunseling, tetapi kaunseling selalunya melibatkan temu bual.
4. Aktiviti mendengar berlaku di dalam kaunseling, tetapi bukan semua aktiviti mendengar merupakan kaunseling.
5. Kaunselor memahami kliennya.
6. Kaunseling dijalankan dalam keadaan yang sulit dan bersendirian di antara kaunselor dan klien. Apa yang dibincangkan di antara kaunselor dan klien mesti dirahsiakan.
7. Klien mempunyai masalah psikologi dan kaunselor mahir bekerja dengan klien yang mempunyai masalah psikologi.

Kaunseling harus berasaskan prinsip-prinsip berikut:
*Pada asasnya, manusia membuat penentuan kendiri.
*Klien harus maju ke tahap penerimaan kendiri dan pemahaman kendiri yang lebih tinggi.
*Klien harus mengembangkan tahap kebenaran yang lebih tinggi lagi, khasnya kebenaran tentang dirinya sendiri.
*Objektif-objektif kaunseling harus berdasarkan keperluan klien dan bukan keperluan kaunselor.

Secara amnya, prinsip-prinsip kaunseling dapat diuruskan seperti berikut:
1. Kaunseling diberi kepada individu-individu normal yang sedang menghadapi masalah atau kerunsingan.
2. Kaunseling merupakan interaksi dan perhubungan di antara kaunselor dan klien berdasarkan kemesraan dan kepercayaan. Kepercayaan adalah faktor penting kerahsiaan dalam kaunseling.
3. Dalam sesi kaunseling, kaunselor menolong klien membuat keputusan dengan mempercepatkan proses membuat keputusan itu. Kaunselor tidak membuat pilihan atau keputusan untuk klien. Hal ini akan menimbulkan perkembangan kebolehan klien untuk membuat pilihan atau keputusan tanpa bergantung pada kaunselor. Kaunselor menolong klien supaya klien dapat melihat segala faktor dalam sesuatu situasi, mengetahui kekuatan dan kelemahan sendiri, serta menjelaskan fikiran yang kabur dan tidak rasional.
4. Orientasi kaunseling haruslah ke arah bekerjasama dan bukannya paksaan. Kaunseling dilakukan dengan cara persetujuan bersama di antara individu yang terlibat. Orang yang dipaksa untuk menerima khidmat kaunseling akan memberontak dan kurang percaya pada orang lain.
5. Kaunselor haruslah sentiasa percaya bahawa setiap individu mempunyai kemampuan bagi kesejahteraan diri sendiri.
6. Kaunseling hendaklah berdasarkan perlakuan, menyedari kehormatan dan harga diri seseorang.
7. Kaunselor percaya bahawa seseorang individu itu haruslah mempunyai peluang yang maksimum untuk memilih matlamat hidupnya masing-masing dan cara untuk mencapai matlamat itu.
8. Kaunseling mestilah berdasarkan etika kaunseling yang baik.

KETRAMPILAN PEMIMPIN BERWIBAWA

Membentuk Kejayaan Diri
*Menganalisa mengenali diri sendiri
*Menyediakan matlamat hidup
*Mempunyai wawasan sendiri
*Mengenalpasti nilai dan prinsip dalam hidup
*Sasaran – Perancangan dan matlamat untuk menjayakan sasaran bagi membolehkan berjaya dalam kerjaya

Mengenal diri sendiri
*Anggapan kita mengenal diri sendiri
*Diri kita dari kaca mata orang lain
*Diri kita sebenar

Tiga jenis manusia
*Mereka yang menjadikan sesuatu berlaku
*Mereka yang melihat sahaja apa yang berlaku
*Mereka yang bertanya apa yang berlaku

Penilaian diri
*Memahami diri sendiri – kekuatan/kelemahan
*Motivasi – kemahuan, semangat membara, keyakinan
*Disiplin diri – menggunakan kekuatan diri dalam mengawal diri
*Keimanan – Pedoman dan Pegangan hidup
*Keyakinan – mempercayai kebolehan sendiri
*Daya tarikan – personaliti dan imej diri
*Perasaan – kebolehan mengawal perasaan
*Sikap – Positif atau Negatif
*Tenaga- tenaga yang berterusan
*Semangat, kecergasan, kesungguhan
*Berfikir kreatif – idea/strategi baru
*Sasaran – sasaran dan standart diri sendiri
*Matlamat – Matlamat dan perancangan sebagai kompas ke arah kejayaan
*Pengurusan masa – Keupayaan membezakan antara keutamaan , segera, kepentingan, tidak penting segera.

Jenis-jenis matlamat
*Matlamat jangka panjangMatlamat yang memerlukan beberapa bulan atau tahun untuk dicapai
*Matlamat jangka pendekMatlamat jangka pendek yang membawa kepada implementasi matlamat jangka panjang

Matlamat : Pendekatan "Smarter"
S-Specific
M-Measuarable
A-Attainable
R-Reasonable
T-Time bound
E-Exciting
R-Rewarding

Prinsip pembentukan matlamat
*Matlamat mestilah matlamat anda sendiri
*Matlamat mestilah positif
*Matlamat mestilah boleh di capai dan nyata
*Matlamat mestilah ditulis
*Matlamat mestilah specifik

Mengapa tidak mempunyai matlamat
*Boleh dijangkakan
*Telah ditetapkan
*Takut kehilangan / kekalahan
*Takut kemenangan
*Pengharapan yang terlalu tinggi

9 Fakta penting dalam mencapai matlamat anda
1. Kuasai masa anda"Kegagalan merancang adalah Perancangan untuk gagal"
2. Keputusan di tangan anda..Jangan biarkan orang lain menghalang anda."Orang lain boleh menghalang anda buat sementara TAPI hanya ada seorang sahaja yang boleh melakukannya untuk selama-lamanya".
3. Hapuskan ketakutan."Jika anda takut mencuba, anda tidak akan pernah gagal. Tetapi takut untuk mencuba membuat anda tidak akan berjaya".
4. Praktikan sikap positif
5. Gambaran minda"Kejayaan bukan destinasi, ianya adalah perjalanan, anda perlu gambarkan arah kemana tujuan perjalanan tersebut".
6. Bina imej diri positif
7. Capai sebarang peluang yang mendatang"Peluang hanya datang sekali"
8. Tuliskan matlamat anda dan semaklah ia selalu
9. Ambil tindakan sekarang – Jangan cakap-cakap kosong sahaja."Action speak louder than words""1 % dari kejayaan adalah kerana bernasib baik. 99% lain adalah hasil usaha"

Keputusan ditangan anda, jangan biarkan sesiapa menghalang anda
Langkah 1
*Jelaskan kenapa anda membuat keputusan tersebut.
*Fikirkan berapa banyak masa yang anda ada.
*Tuliskan matlamat anda dan bila ia patut dicapai.

Langkah 2
*Fikirkan tindakan yang akan diambil
*Cari maklumat yang berkaitan dengan situasi tersebut
*Senaraikan pilihan yang terbuka untuk anda

Langkah 3
*Senaraikan implikasi dan akibat dari setiap pilihan
*Hapuskan pilihan yang tidak munasabah atau tidak anda perlukan

Langkah 4
*Ikut setiap pilihan sampai tamat
*Anda boleh mengikut lebih dari satu pilihan
*Jangan membuang masa jika anda menamui jalan buntu.

Langkah 5
*Tambah pilihan atau matlamat baru didalam tindakan anda

Langkah 6
*Bila anda telah mencapai matlamat anda tuliskan matlamat baru dan had masa baru. Ikut langkah 2.

Langkah 7
*Bila anda telah mencapai matlamat yang terakhir, anda juga adalah kearah mencapai kejayaan yang jitu.

Hilangkan ketakutan
Bagaimana untuk mendapatkan keyakinan diri.

Fasa 1 Kenalpasti diri anda
Langkah 1 : Bina fail kejayaan anda
Langkah 2 : Mempunyai sikap optimistik
Langkah 3 : Tukar sikap anda terhadap kegagalan
Langkah 4 : Berhenti dari menganggap kegagalan dimana-mana

Fasa 2 Ketegasan diri anda
Langkah 1 : Belajar menyatakan "TIDAK"
Langkah 2 : Bertanya

Bersikap positif
Apa itu SIKAP?
*Sikap adalah tingkahlaku yang lahir dari emosi. Ia adalah kumpulan keterlaluan/perangagi yang ditunjukan oleh seseorang terhadap orang lain.
*Ia merupakan komponen emosi dan salah satu perkara yang sukar di fahami dan diurus.

Bagaimana Sikap di Perlihatkan
*Perkataan yang digunakan-"Boleh saya tolong…….""Maaf,……"
*Air muka-senyum
*Budi bahasa-Bersopan santunKurang sopan
*Nada bahasa-Lembut, marah
*Pembawaan diri (Imej)-Kemas, bersih
*Pakaian-Kotor, bersih
*Cara berjalan-Bertenaga, tak bermaya
*Posture-Tegap, Bongkok

Sikap dan perhubungan manusia
Apa fungsi sikap terhadap persekitaran?

Sikap positif akan menghasilkan 3 matlamat:
*Ia akan melahirkan emosi yang positif/baik terhadap kerja dan rakan-rakan di sekitar anda
*Ia menambahkan sifat kreatif bagi menambah produktiviti anda
*Ia memperbaiki personaliti anda dalam berhubung dengan persekitaran
*Sikap dan sifat positif dalam pembentukan seseorang. Anda adalah apa yang anda fikirkan. Jika anda positif kerja di anggap mustahil boleh berjaya.

Kaedah mengubah sikap
1. Tentukan dahulu samada sesuatu masalah itu berpunca dari sikap atau faktor persekitaran. Jika berpunca dari faktor lain, usaha mengubah sikap tidak perlu dilakukan.
2. Apakah diri sendiri orang yang paling sesuai untuk melakukannya dan apakah pengaruh yang membawa kepada perubahan?Apakah kerana pengaruh ganjaran, kepakaran, paksaan, tauladan atau simpati?
3. Nilai diri apakah komponen yang paling mempengaruhi sikap untuk berubah? Apakah dengan mengubah persekitaran, pemikiran, pandangan dunia, perasaan, sistem nilai, tingkah laku, dan persekitaran untuk bertindak?
4. Tentukan pendekatan yang diperlukan untuk mengubah diri samada dengan secara langsung negatif; mengancam; mengkritik; menghina; mengenakan dendaan dan paksaan atau secara tidak langsung; menunjukkan tauladan silaturrahim dan perlakuan.
5. Mengenal pasti rintangan rintangan yang mungkin dihadapi serta cara mengatasinya, menentukan cara pengukuhan setelah berlaku perubahan; galakan atau dorongan dan mengubah suai pendekatan berasaskan kejayaan atau kegagalan.

SIKAP

Sikap orang yang berjaya
*Mengubah kelakuan sendiri
*Bekerja keras dan punya masa
*Tahu bila mahu bersikap tegas dan mengalah
*Menghormati orang lain dan sanggup belajar dari orang lain
*Menggunakan masa untuk maju
*Penekanan terhadap kemungkinan / (peluang)
*Menerima pendapat orang lain

Sikap orang yang gagal
*Cuba mengubah kelakuan orang lain
*Terlalu sibuk membuat apa yang patut
*Mengalah bila disoal dan mempertahankan perkara yang tidak penting
*Tidak mahu melihat kelebihan orang lain cuma terhadap kelemahan mereka
*Gunakan masa untuk mengelakkan kritikan
*Penekanan terhadap masalah
*Tidak mahu menerima pendapat orang lain